Rabu, 4 Disember 2013

Rest In Peace...untuk bukan islam...bolehkah?

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن واله، وبعد

Setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian kepada yang Maha Esa, yg masih memberikan kita nafas, nikmat yang tidak terhitung, kesihatan yang tidak terduga, serta membekalkan kita wahyu yang tidak mungkin akan di ubah, hanya memerlukan kita sahaja untuk mentadabburnya.

Jutaan kemaafan buat pembaca sekalian atas penangguhan dan kelewatan men'update' blog ini. InsyaAllah, tak lama lagi saya akan berpindah kerja ke tempat yang baru, di doakan agar saya dan kita semua sentiasa cemerlang di dunia dan di akhirat.


Beberapa hari yang lalu, dunia digemparkan dengan kematian seorang pelakon antarabangsa yang terkenal di dalam sebuah filem perlumbaan kereta. Walaupun dia seorang yang hebat aksi lakonannya bersama kereta nya, akhirnya nyawanya di ambil Allah juga ketika sedang berada di dalam kereta, cuma bukan ketika melakonkan watak utamanya. Saya tidaklah terpanggil untuk mengulas tangga kejayaan beliau dan penglibatannya di dalam dunia hiburan, apa yang timbul di akhir-akhir ini ialah isu bagaimana kita sebagai muslim, menghadapi isu ini dalam masa yang sama, tidak ada kekeliruan yang akan berlaku pada masa mendatang. Isunya ialah mendoakan agar roh si mati "bukan islam" dengan keamanan bila dia meningggal dunia.


Tidak dinafikan, sejarah pernah menceritakan, bahawa Rasululullahi Sallallahu Alaihi Wasallam, pernah mendoakan hidayah dan kebaikan kepada golongan bukan Islam. Ini dibuktikan daripada beberapa hadis yang sahih. Antaranya, doa hidayah untuk Umar Al-Khattab, dan doa kepada Yahudi yang membantu baginda dengan ketampanan. Kita juga di ajar, apabila bersin dengan mengucapkan "Alhamdulillah", bagi yang mendengarnya, katakanlah "Yarhamukallah" dan balas kembali dengan "Yahdikumullah Wayuslihu Baalakum". Apabila orang bukan Islam bersin, sekalipun dia tidak akan mengucapkan Alhamdulilllah, tetapi kita disarankan untuk mengucapkan "Yahdikumullah Wayuslihu Baalakum" (moga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperbaiki urusan duniamu). Manalah kita tahu, ketika kita mengucapkan doa tersebut, Allah yang maha Esa mengkabulkannya. Bukankah besar rahmat seseorang itu masuk Islam disebabkan doa yang baik dari kita.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. berkata yang maksudnya : “Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), Mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka.” Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam.” (Hadis riwayat Bukhari)

Begitu indah peribadi seorang Rasul yang mulia. Sekalipun mereka penderhaka, tetapi hidayah yang didoakannya. Di mana kita dalam meneladani peribadi yang agung ini???

Akan tetapi, di sana terdapat perbahasan yang panjang, perihal mendoakan kebaikan khususnya bagi bukan islam yang sudah meninggal dunia. Dalam dunia yang moden ini, ditambah pula dengan segala maklumat dapat dinikmati dihujung jari, timbullah beberapa 'ilmuan segera' hasil acuan media dan propoganda, amat pantas dan tuntas dalam menyatakan sesuatu hukum dan pendapat tanpa perlu merujuk kepada wahyu yang asli lagi terjaga. Sesungguhnya, tiada siapa yang boleh menghalang minat kita kepada sesuatu. Contohnya minat kita yang mendalam terhadap pelakon terkenal tersebut, tetapi semuanya itu perlu dilandasi dengan akal yang sempurna dan wahyu yang berguna, InsyaAllah, agama kita akan selamat selamanya.

Perlu disedari bersama, bahawa hukum mendoakan si mati bukan islam itu ada batasnya. Adalah HARAM mendoakan orang bukan Islam sama ada dia terdiri daripada keluarga sendiri ataupun bukan, dengan doa yang berbentuk permohonan keampunan dan seumpamanya yang tidak layak disebut bagi orang bukan Islam. Ianya dilarang sebagaimana kata Allah s.w.t. : 
مَا كَانَ لِلنَّبِىِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن يَسۡتَغۡفِرُواْ لِلۡمُشۡرِڪِينَ وَلَوۡ ڪَانُوٓاْ أُوْلِى قُرۡبَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّہُمۡ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡجَحِيمِ (١١٣)
"Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah At-Taubah: 113)

Rest in peace membawa maksud, "bersemadilah di dalam ketenangan". Mengharapkan ketenangan adalah sebuah harapan yang kita ingin kan samada untuk di sendiri atau orang lain. Mengharapkan ketenangan juga lebih lagi apabila orang itu sudah meninggal dunia, merupakan sebuah doa supaya dia tidak disiksa di sana. Ketenangan pula tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan keampunan. Maka, doakan ketenangan untuk si mati yang bukan islam juga adalah HARAM hukumnya diqiaskan dengan memohon keampunan.

Semasa hidupnya beliau, lansung kita tidak pernah terlintas untuk mendoakan agar Allah memberikannya hidayah, kenapa ketika beliau mati, kita orang yang pertama bersungguh-sungguh memohon ketenangan untuknya di akhirat? Apa yang saya perhatikan, di sini lah wujudnya kelemahan diri kita. Kelemahan dalam mengamalkan apa yang di ajarkan oleh baginda yang agung. Kelemahan yang kita miliki akibat mewarisi islam daripada kedua ibu bapa kita. Terlalu selesa berada dalam Islam, sehingga melupakan mereka yang bukan Islam, yang layak dimohonkan agar memperolehi hidayah dari Allah S.W.T.

Bukanlah saya menyeru untuk umat islam itu murtad..nauzubillah..tidak sama sekali tidak. Cuma apa yang saya perhatikan, mereka yang baru memeluk agama islam, cara pengamalan islamnya jauh lebih cantik berbanding mereka yang sudah lama islam. Ada yang menjadi Guru Agama dan Al-Quran di kaca televisyen, ada yang menjadi tokoh hebat pendakwah di barat dan lain lain. Bukankah sepatutnya mereka yang sudah lama islam menjalankan tugas-tugas tadi sebelum mereka???

Seruan ini bukanlah untuk orang lain. Ia hanyalah untuk diri saya yang sentiasa leka dan alpa tenggelam di dalam nikmat dunia. Tidaklah diri ini terlalu berani untuk berkata sesuatu melainkan apa yang hendak dikatakan, telah ku sediakan jawapannya untuk ku jawabkan di hadapan Allah di hari akhirat nanti.

Maka dengan ini sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, hendaklah kita berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan sama ada ianya menyalahi hukum Islam atau tidak. Rujuklah mereka yang sentiasa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah dalam membuat hujahan dan kesimpulan. Seperti memperingati kematian orang-orang bukan Islam dan sekaligus mendoakan mereka itu dalam ketengan, keampunan dan rahmat daripada Tuhan. Perkara inilah yang mesti kita ambil kira kerana ianya sudah jelas dilarang oleh Islam. Seorang doktor, sebelum graduasi, belum dibenarkan untuk mengubati pesakit di hospital, apatah lagi dengan seseorang yang baru membaca sebuah dua buah buku agama, terus menjadi mufti di alam maya. 


Wallahul Musta'aan

Yang mendambakan keampunan Allah,


Abu Raudhah Al-Filfilani
4 Dis 2013 - Shah Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan