Jumaat, 7 Mac 2014

Kuasa Sebuah Contribution

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن واله، وبعد

Setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian kepada yang Maha Esa, yg masih memberikan kita kesihatan dan masa lapang, nikmat yang jarang sekali manusia menyedarinya, serta membekalkan kita wahyu yang tidak mungkin akan di ubah, hanya memerlukan kita sahaja untuk mentadabburnya.

Jutaan kemaafan buat sahabat pembaca sekalian atas penangguhan dan kelewatan men'update' blog ini. Di samping tugasan dan amanah yang mengejari, hari ini, saya rasa perlu sangat untuk saya berkongsi dengan anda di pagi jumaat yang indah ini, perihal seekor binatang kecil yang Allah S.W.T sebutnya di dalam Al-Quran. Moga dengan perkongsian ini dapat mendekatkan lagi diri yang dhaif ini kepada Robbul Jalil, dan lebih mencintai Pembawa Rahmat Ke Seluruh Alam.

2 minggu yang lalu, saya telah disengat seekor lebah di kaki dan kesan sakitnya berlarutan selama 3 hari. Semalam, waktu pulang dari mengajar, ada seekor lebah lagi hinggap di cermin kereta, membuatkan saya terus berfikir dan merenung kenapakah engkau wahai binatang yang kecil, Allah abadikan namamu di dalam KalamNya yang suci. Di samping haiwan-haiwan yang lain, ada yang lebih gagah dan perkasa seperti buaya, harimau, tapi engkau juga yang istimewa di naqalkan di dalam kitab yang suci. Fikir punya fikir, dengan ilmu yang tak seberapa, di samping memohon petunjuk dari Allah yang Esa, akhirnya saya menangis keseorangan kerana sangat malu dengan binatang kecil ini yang bernama Lebah..

Allah berkata di dalam Al-Quran: 

Ayat 68-69 surah An-Nahl

Rata-rata penjual madu atau penceramah-peceramah sering mengguna pakaikan ayat ini bagi tujuan untuk melariskan produk jualan madu mereka, dan Alhamdulillah, dah ramai mereka yang menyedari bahawa agama bukan tujuannya di eksploitasi semata. Saya tinggalkan bab ini sementara waktu dan saya serahkan pada mereka yang lebih Aarif untuk membicarakan perihal salah laku penggunaan Ayat Al-Quran ini.

Perkongsian saya mungkin berbeza dengan anda. Pada ayat yang ke 69, Allah akhirinya dengan "kaum yang berfikir", tuntutan ini sangat jelas bagi mereka yang mempunyai aqal dan masih mampu untuk berfikir. Fikiran saya perihal lebah ini adalah dalam "Add Value" nya pada pada makhluk yang lain khususnya yang bernama insan. Saya bukanlah ahli sains untuk mengkaji bagaimana proses madu itu terhasil, cuma apa yang terlintas di "fikiran" saya ialah, bagaimana seekor binatang yang kecil, tapi hidupnya mampu untuk menambah nilai dalam kehidupan manusia, sedangkan manusia pun ada kalanya hidup tetapi tak mampu untuk memanfaatkan dirinya untuk kehidupan manusia yang lain.

Berapa ramai yang mahu saya kongsikan kenapa binatang kecil ini mampu menambah nilai dalam hidup insan?


Setelah diteliti, bermula dari ayat 68, apabila Allah mewahyukan pada lebah, daripada pembinaan sebuah kediaman, makanan dan tempuhi jalan Tuhan, semuanya itu adalah berkaitan dengan sebuah benda yang dinamakan "KEHIDUPAN". Manusia juga punyai kehidupan. Andai lebah mampu untuk mengikut wahyu dalam menentukan kehidupannya, mengapa manusia tidak!!!? Kita juga punya kediaman untuk didiami, perlukan kepada sumber rezeki untuk dimakan, dan perlu meletakkan Tuhan dalam hala tuju kehidupan, akan tetapi berapa ramaikah manusia yang betul-betul mengaplikasikan undang-undang ini?

Kerana inilah saya amat malu dan insaf pada binatang bertubuh kecil ini yang bernama lebah...walaupun sengatannya sangat berbisa, tetapi apa yang ada dalam perutmu adalah sebuah sumbangan pada insan yang sering leka dan alpa dalam meletakkan wahyu sebagai kompass kehidupan. Engkau bukanlah makhluk yang ditaklifkan untuk beribadat, tapi engkau sangat patuh pada Pencipta mu. Sebab itulah Allah berikan kelebihan ini pada engkau wahai lebah yang mulia. Apalah guna badan yang besar, tetapi tidak mampu meletakkan wahyu sebagai hala tuju kehidupan yang sebenar. Apatah lagi ingin memberi manfaat pada insan sekeliling.

Oleh itu sahabat sekalian, di manakah kedudukan kita sekarang? Masihkah kita mahu bongkak dan besar diri dengan memalingkan diri dari panduan wakyu? Tidak mahukah kita akan satu amalan yang kita tinggalkan dunia ini, tetapi kesannya masih kita boleh bawa ke akhirat kelak? Tidakkah kita mahukan sebuah "Contribution" pada manusia yang lain?

Ayat ini hanyalah tamsilan bagi mereka yang bernama manusia yang masih belum nampak akan kekuatan sebuah wahyu. Anda mahu hidup anda kaya, berjaya, diberkati dan dirahmati selalu, maka ikutlah wahyu yang Allah turunkan pada kita dan apa yang Rasul tinggalkan untuk kita. Jadilah seperti lebah, selalu berjemaah, makan makanan yang baik, tinggal di tempat yang tinggi, selalu memberikan sumbangan pada insan lain, dalam masa yang sama ada satu sengatan berbisa yang boleh mempertahankan diri dari musuh-musuhnya...



Yang inginkan kehidupan seperti Lebah,

Akhukum,
Abu Raudhah Nurzamir Bin Zakaria


7 Mac 2014 - Shah Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan