Jumaat, 11 Oktober 2013

Milik Siapakah Projek Ini

 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن واله، وبعد

Alhamdulillah, Jumaat tiba lagi, penghulu bagi sekalian hari.. Sudahkah anda membaca Al-Kahfi? Semoga kita semua mendapat rahmat yang melimpah ruah daripada Allah s.w.t dan sentiasa istiqamah dalam menjaga iman dan islam yang kita miliki.

"Milik Siapakah Projek Ini"

Sekali dengar macam lagu Allahyarham Sudirman Hj Arshad.  Moga Allah merahmatinya dan sekalian Ummat Muslimin yang mendahului kita bertemu yang Maha Esa. Tapi bukan tajuk lagu yang saya nak kongsikan pada hari ini.

Sambil kita membaca Al-kahfi pada harini, sudi saya berkongsi dan bincangkan akan perihal seorang pemimpin yang agung, bersempena di hari Jumaat yang penuh barakah ini. Tidak lain dan tidak bukan itulah Zulqarnain.


Saya bukanlah tokoh sejarah yang ingin membincangkan sejarah kehidupan Zulqarnain, kisah hidupnya, asal usulnya dan pencapaian di dalam hidupnya. Cuma berbekalkan sedikit ilmu yang dikurniakan Allah, ingin saya berkongsi tentang kelebihan dan betapa tawaduknya seorang makhluk yang bernama Zulqarnain ini.

Zulqarnain, seorang pemimpin yang hebat, Allah abadikan kisahnya melalui kalamNya yang agung. begitu juga dengan Fira'un. Juga seorang pemimpin yang Allah abadikan juga kisahnya di dalam Al-Quran. Akan tetapi ketaranya antara kedua-dua pemimpin di atas. Allah ceritakan kepada kita kisah keduanya agar kita dapat mengambil "ibrah" yang manakah yang patut kita contohi. Ini kerana kita semua adalah pemimpin, bertepatan dengan Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, 

"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggung jawab di atas pimpinan kamu".

Seorang suami, pemimpin bagi isteri dan keluarganya. Seorang Imam, pemimpin bagi makmumnya. Seorang CEO, pemimpin bagi pegawainya dan anak buahnya. Seorang Pemimpin Negara, juga menjadi tanggungjawab ke atas nya akan rakyatnya. Di atas bahu setiap kita terletaknya jawatan sebagai seorang pemimpin. Amanah kah kita, zalimkah kita, curang kah kita, songlapkah kita, semuanya akan ditanya dihadapan Allah kelak tentang apa yang kita perbuatkan.

Ironinya, kisah Zulqarnain yang menjadi tarikan saya pada kalini ialah, tentang pulangan segala hasil usahanya itu. 


Tatkala  Zulqarnain selesai membina tembok pemisah antara Ya'juj dan Mak'juj dan penduduk kampung tersebut, lalu cogankata dan tema yang diberikan Zulqarnain ialah, 

"Ini adalah rahmat Tuhanku".

Zulqarnain seorang pemimpin yang hebat, ke timur dan ke barat, berjumpa dengan jutaan jenis manusia, sehinggalah dia tiba ke sebuah kampung yang penduduknya mengadu akan perihal satu bangsa yang ganas. Apa yang menariknya, pertama Zulqarnain ditawarkan oleh penduduk tersebut dengan bayaran agar dapat melakukan sesuatu bagi menjamin keselamatan mereka. Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, ini bukanlah peluang keemasan baginya "membedal" harta penduduk kampung tersebut. Andai wujud pemimpin yang "corrupt" dan tidak takutkan Allah, semestinya peluang-peluang begini melambai-lambai mereka. Kalau tak ada peluang pun, mereka akan cipta sesuatu bagaimanakah caranya selagi mungkin mengaut keuntungan dan menjahanamkan harta rakyat di bawah pimpinannya.


Apa yang dilakukan Zulqarnain ialah dengan mengajak penduduk tersebut bersamanya membina suatu tembok yang kuat (ayat 95). Zulqarnain seorang pemimpin yang diberikan Ilmu oleh Allah s.w.t, mengetahui akan yang terbaik buat rakyatnya. Maka tembok tersebut merupakan jalan penyelesaiannya dan dia mahir akan hal tersebut. Kelebihannya ialah, dia berkongsi kemahiran tersebut bersama rakyatnya. Dia tidak mengambil kesempatan di atas ketidak tahuan (kebodohan) akan rakyatnya itu. Beginilah salah satu ciri seorang pemimpin yang disukai. Zulqarnain seorang pemimpin yang datang dan pergi. Dia tidak selamanya memimpin masyarakat tersebut. Kemahiran yang ada padanya perlu diwarisi kepada rakyatnya demi menaik tarafkan tahap pendidikan rakyatnya. Apa yang mengecewakan kita hari ini, kadangkala wujud orang bawahan kita yang kurang cekap membuat kerja tetap amanah dalam melakukan tugasan. Andai mereka tidak dilatih dan ditunjuk ajar, selama mana kita nak berang dan memarahinya, buang dia daripada kerja nya?

Setelah selesai pembinaan tembok tersebut, maka ucapan pertamanya ialah "Inilah rahmat dari Tuhanku". Zulqarnain memulangkan hasil usahanya kepada Rabb yang maha agung. Dia tidak mengatakan "Satu lagi projek aku, tanpa aku, kamu semua takkan aman dan dirosakkan oleh Yakjuj dan Makjuj". Kerana Zulqarnain seorang pemimpin yang sangat takut akan Allah. Setiap hasil usahanya akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak. Suatu hari tembok itu akan jatuh dan luluh. Tembok itu bukan hak milik Zulqarnain. Mana ada projek manusia akan kekal selamanya. Hanya Allah yang satu maha Kekal. Kita insan yang kerdil, Allah berikan kita akal dan tunjuk ajar bagaimanakah ingin menjadi seorang pemimpin yang adil dan hebat. Kerana pemimpin yang adil adalah manusia pertama akan mendapat bayangan Allah di akhirat kelak.

"Kita semua adalah pemimpin, 
dan kita semua akan di tanya kelak atas apa yang kita pimpini"


Moga Allah rahmati kita semua dan mengampunkan dosa-dosa silam kita. Ya Allah, pandulah kami ke jalan yang benar, kurniakanlah kepada kami kekuatan demi melaksanakan tuntutan amanah Mu. Janganlah Engkau membebani kami di atas ujian yang menimpa diri kami. Semoga kami di akhirat nanti akan mendapat bayanganMu, Ampunilah kami, ampunilah kami, ampunilah kami...


Yang mendambakan kasih Allah,


Abu Raudhah Al-Filfilani

11 Oct 2013 - Shah Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan