Khamis, 24 Oktober 2013

Kemanakah perginya Ibrahim?

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن واله، وبعد

Alhamdulillah, hampir 2 minggu perayaan Idul Adha telah meninggalkan kita. Serata dunia ummat Islam merayakannya. Tidak lupa juga buat jemaah Haji yang sedang mengerjakan haji di Makkah, semua kita merayakannya. Ada yang mampu, maka mereka melaksanakan ibadah korban, ada yang tidak.


Saya juga ingin memohon kemaafan daripada anda semua atas kelewatan meng update blog ini. Insyaallah, harini saya tergerak hati ingin berkongsi dengan sahabat semua beberapa suasana samada kita sedar atau tidak yang berlaku di sekeliling kita.

Saya bukanlah nak membicarakan lebih lanjut tentang seorang rakyat malaysia beragama hindu yang membuat povokasi ibadah korban di sekolah. Saya juga bukan nak bercerita tentang isu siapa yang patut meng eksklusifkan kalimah Allah. Saya juga tidak bercadang nak sentuh isu Hudud Brunei, apatah lagi nak bercerita kisah tragedi empangan air di Cameron Highland. Saya juga tidak mahu kerana blog saya ini, akan melahirkan lebih ramai "Keyboard Warriors".


Menarik minat saya, bila membicarakan kisah seorang Hamba yang bernama Ibrahim Alaihis Salam. Tidak tahu di mana air mata ini harus dititiskan bila mengenangkan peristiwa perjuangannya yang agung. Perjuangan yang penuh dengan pengorbanan demi yang Satu. Sedihnya bukan disebabkan apa yang dilalui Ibrahim, tetapi sedihnya ialah, kenapa aku tak buleh ikut macam Ibrahim. Lebih menyedihkan, kisah Ibrahim hanya dikumandangkan ketika hari Idul Adha sahaja. Selepas itu??? Ke mana pergi Ibrahim dalam hati setiap insan?

Allah abadikan kisahnya di dalam Al-Quran, bukan untuk ditadarus dan dikhutbahkan setiap Idul Adha semata. Allah berkata:

مَا كَانَ إِبۡرَٲهِيمُ يَہُودِيًّ۬ا وَلَا نَصۡرَانِيًّ۬ا وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفً۬ا مُّسۡلِمً۬ا 
وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ
 إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٲهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَـٰذَا ٱلنَّبِىُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ‌ۗ 
وَٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ 

"Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah) dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. (67) Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya iaitu umat Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman."

Mencari Tuhan
Di usianya yang masih kanak-kanak, Allah ceritakan bagaimana seorang makhluk yang bernama Ibrahim ini mencari Tuhannya. Gerak hatinya yang fitrah mengingkari peranan berhala sebagai tuhan. Sekalipun sang ayah yang menjadi halangannya. Perdebatan berlaku dengan penuh kasih dan sayang walau diugut rejam oleh sibapa. Ibrahim melalui proses pencarian bermula dengan bintang di langit, seterusnya bulan dan akhirnya matahari. Kesemuanya dipandang lemah dan tidak layak untuk menduduki tempat sebagai Tuhan. Apatah lagi berhala yang ciptaan manusia?

Menerima Allah sebagai tuhan merupakan nikmat yang terbesar. Umpama seorang yang berjalan ditengah kegelapan malam, lalu diberikan padanya sebatang obor yang menyinari jalannya. Akan tetapi apakan daya. Setiap nikmat itu akan ada pendengkinya. Obor ditangannya cuba untuk dirampas. Mahukah diserahkan pada orang lain sedangkan kita sangat berhajat padanya untuk mengelakkan bahaya kegelapan, binatang berbisa, buas dan juga perangkap duri dan lubang bahaya?

Kerana usahanya mencari Tuhan, Allah membimbingnya. Allah mengasihinya. Sayangnya Ibrahim pada tuhannya kerana dia bersusah payah dan berusaha untuk mencari. Dan Ibrahim tidak mahu tuhan itu hilang dari dirinya. Ibrahim mahu menjadi seorang yang mulia. Kerana kemuliaan itulah yang diterima Allah. Berbeza dengan manusia yang memperolehi sesuatu tanpa dicari, Hilang pun tidak diketahui. Pergi pun tak apa. Tidak perlu rasanya nak cerita kenapa harini Allah tidak mendengar doa kita.

Kebodohan
Ekoran kewujudan Allah di dalam dirinya, maka timbullah kaum yang mengingkarinya. Termasuklah orang yang paling hampir dengannya iaitu bapanya. Allah yang membimbingnya sentiasa mengawasinya, sekalipun jasadnya dibakar api, Ibrahim tetap utuh aqidahnya kepada yang satu. Ibrahim berhadapan dengan kerajaan dan kaum yang sangat bodoh. Beberapa kali ketuhanan itu dibuktikan oleh Ibrahim sesuai dengan aqal mereka, tapi mereka tetap bodoh memilih berhala yang tidak mampu memberi apa-apa. Di sana beberapa kali Allah ajari kita bagaimana caranya menggunakan aqal yang selaras dengan wahyu bukan nafsu.

"Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Dia menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. Nabi Ibrahim berkata lagi: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat? Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim." (Al-Baqarah 258)

"Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim. (64) Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)? (65) Nabi Ibrahim berkata: Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? (66) Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu? (67) (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya! (68) Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!."  (Al-Anbiya' 63-68)

Mereka terlalu mengikut hawa nafsu. Siapa yang tidak bersetuju maka harus kita tentanginya. Sekalipun nyawa menjadi taruhan. Maha suci Allah menyejukkan dan menyelamatkan ibrahim. Sejuk kalau tak selamat, belum tentu berguna. Selamat tapi panas juga tiada baiknya. Inilah perjuangan yang tidak pernah gentar dan goyah. Perintah Allah dituruti tanpa banyak penentangan. Kita harini, tak perlulah nak bercakap pandai kononnya kitalah juara debat bab-bab agama, kalau solat maghrib pun sanggup kita lewatkan demi sebuah kisah "Arrogant".

Kemuliaan
Hampir setiap ayat yang menyeru manusia pada perkara yang fardhu, Allah mesti letakkan ketaqwaan disebaliknya. Ayat puasa diakhiri dengan ketaqwaan. Ayat zakat juga begitu. Apatah lagi ayat solat. Tidak dilupakan juga ayat yang menyuruh kita melaksanakan ibadah korban. Allah tak pandang pun jenis binatang yang disembelih, tetapi Allah mahukan ketaqwaan yang mendalam dari setiap insan. Kerana ketaqwaan itu, manusia akan memperolehi kemuliaan. Kemuliaan yang menjadi lesen untuk kita hampir dengan Allah. Kemuliaan yang akan memberikan kita tiket ke Syurga, dan kemuliaan yang sama yang telah diperolehi oleh seorang hamba yang bernama Ibrahim.

Tanpanya, kehinaan demi kehinaan yang makin sengsara menghujani insan. Kemanakah kita tanpa kemuliaan? Sahabatku, muliakah kita pabila setiap hari terpampang di layar media berita pembunuhan? Muliakah kita bila seorang wanita yang amanah sanggup ditembak bagi tujuan merompak? Muliakah kita bila ada ibu tunggal sanggup mengadap gereja untuk mendapatkan bantuan kewangan? Muliakah kita bila doa kita tidak didengari Allah?

Ayat yang saya bawakan pada awal penulisan di atas, mahu mengajak diri ini terutamanya agar menjadi seorang yang betul-betul mulia dan beriman. Percaya kepada setiap perintah dan laranganNya. Kepada siapa lagi mahu memohon pertolongan selain Allah. Allah hanya akan membantu hambaNya yang beriman. Allah yang sama juga pernah menyelamatkan Ibrahim dari dibakar kaumnya. Ibrahim itu bukan Yahudi, bukan juga Nasrani, akan tetapi realitinya Aqidah kepada Allah yang satu dan seorang yang beriman. Seorang kekasih yang dipilih Allah kerana keimanannya.

وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبۡرَٲهِيمَ خَلِيلاً۬

Terlalu banyak perkara yang ditempuhi dan dilalui Ibrahim sepanjang hayatnya. Cukuplah beberapa kisah yang sempat saya bawakan pada kali ini. Janganlah kisah pengorbanan Ibrahim hanya dikumandangkan ketika menyambut hari raya korban sahaja. Jejakilah kisahnya. Hayatilah pengorbanannya. Selusuri dan sematlah di dalam diri ini bahawa kita hanyalah hamba Allah yang sangat-sangat mengharapkan syurgaNya. Mereka yang hebat ini sudahpun mendahului kita semua ke sana. Kisah mereka bukan cerita rakyat semata. Sebuah kisah yang menjadi jambatan untuk menghubungkan kita dengan pencipta kita semua...andai kita berfikir...


Yang mendambakan perjuangan Ibrahim,

Abu Raudhah Al-Filfilani

24 Oct 2013 - Shah Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan