Jumaat, 18 Oktober 2013

Al-Baqiaatus Soolihaat

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن واله، وبعد

Alhamdulillah, pagi Jumaat yang mulia, saya tidak bercadang untuk panjangkan perbicaraan, cukuplah di samping kita berselawat dan membaca surah Al-Kahfi, mari kita menelaah dan menghayati sepotong ayat daripadanya.

Allah berkata:
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا
"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan"


Di sana terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan perihal harta dan anak-anak yang merupakan perhiasan untuk kita di dunia. Secara fitrahnya juga manusia memiliki sifat yang suka pada harta dan anak-anak. Ini jelas kerana Allah juga dah buktikan melalui kalamNya di dalam ayat 14 surah Aali Imran.

Siapa yang tidak suka harta yang banyak? Siapa yang tidak suka ada anak-anak yang ramai? Kedua-dua elemen yang penting bagi mereka yang memiliki sifat suka memberi. 
  • Banyak harta, dapat membantu mereka yang kesempitan dan kesusahan (positif). 
  • Banyak harta, dihabiskan ke jalan yang tidak disukai Allah dan jalan maksiat (negatif). 
  • Ramai anak, dapat bentuk dan lahirkan mereka sebagai penyambung usaha demi memartabatkan ummah. (positif)
  • Ramai anak, abaikan mereka, tidak didik mereka mengenal Allah, menjadi perosak agama, bangsa dan negara. (negatif)

Memang benarlah, banyak harta dan anak-anak belum tentu dapat menjamin kesenangan kita di akhirat nanti. Lantas Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani berikan jalan bagaimana insan membuat bekalan yang akan dapat kita sama nikmatinya di sisi Allah kelak.

Itulah Al-Baqiaatus Soolihaat. Satu perkara yang baik kita tinggalkan untuk kegunaan ummah. Apa sahaja yang dilakukan atas nama kebaikan, selagi itulah ia tergolong dalam Al-Baqiaatus Soolihaat. Dengan syarat selagi ia dibuat atas nama Iklas dan mengikut Sunnah Nabi.

Berapa ramai di kalangan kita yang sudah pun memiliki Al-Baqiaatus Soolihaat? Adakah kita sudah memiliki Al-Baqiaatus Soolihaat? Ayuh rebut peluang ini sebelum kita semua dijemput Ilahi. Jemputan yang tidak ada petanda mahupun tarikhnya. Ya Allah, kurniakanlah kepada kami untuk sentiasa iatiqamah dalam melakukan Al-Baqiaatus Soolihaat, Terimalah segala Amal baik kami, Jauhkanlah kami dari segala kejahatan dan malapetaka.


Yang mendambakan Al-Baqiaatus Soolihaat,


Abu Raudhah Al-Filfilani

18 Oct 2013 - Shah Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan