Isnin, 14 Oktober 2013

Korbankan keegoanmu itu

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن واله، وبعد

Alhamdulillah, pagi yang indah, tanggal 9 Zulhijjah 1434 walaupun kali ini saya berada di bumi Malaysia, namun kenangan haji ketika masih menuntut di sana tetap akan diingati sentiasa. Kenangan berjalan kaki berkilo2meter, bersesak-sesak dengan jutaan ummat, tidur di atas jalanraya dan walaupun masih terlalu jauh jika nak dibandingkan dengan Pakej haji Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, namun saya tetap mengharapkan ganjaran dariNya. Moga suatu hari dapat lagi saya ke sana.


Insyaallah, pagi ini saya akan berkongsi sesuatu dengan anda. Perihal ego yang sering bersarang di dalam setiap diri insan. Semua orang buleh bercakap pasal ego dan semua bersaing ingin menjadi juara akan hal ini, tetapi adakah semua orang buleh mengikis keegoannya?

Teringat saya akan satu hadis dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, yang menceritakan perihal manusia yang tidak mahu ke syurga. Inilah salah satu manusia yang ego. Sangat pelik lagi ajaib bila wujudnya manusia yang tidak mahu ke syurga.

Mengingkari akan perintah Allah dan rasulNya, adalah kategori ego yang sangat perlu dibuang jauh dari diri setiap individu yang ingin ke syurga. Ada yang berpendapat bahawa ingkar akan perintah hanyalah dengan melakukan kemaksiatan kepada Allah, tetapi perlu diingati di sana bukan semua benda yang dipandang tidak baik (maksiat terang-terangan) sahaja di bawah kategori ingkar, namun ada perkara yang kita pandang ianya baik, tetapi ia juga buleh termasuk di dalam kategori ingkar. 

Itulah perkara yang direka-reka lalu disandarkan kepada Islam. Walaupun ada yang memandang ia baik, tetapi hakikatnya ia adalah satu pengkhianatan ke atas junjungan besar baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Perkara yang baik semestinya akan wujud generasi yang akan mempertahankannya, namun sebagai insan yang mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, apakah perlu kita meng adakan sesuatu yang tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam?

Mencipta sesuatu perkara yang baharu di dalam agama buleh dikategorikan sebagai ego. Pertama dengan menganggap dia lebih hebat dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kedua dengan tanpa sengaja, menganggap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pengkhianat agama..(nauzubillah).

Masakan tidak, Imam Malik (r.a) pernah berkata:

"Barangsiapa yang mencipta sesuatu di dalam agama, kemudian memandangnya mulia, 
ketahuilah dia telah mendakwa Muhammad itu pengkhianat risalah."

Saya tidak mahu mengambil kesempatan untuk mengulas dengan lebih panjang, kerana di sana ribuan pendokong sunnah sudah pun berbicara akan hal ini.

Saya ingin menarik anda sejenak akan perihal ayat yang pernah diturunkan pada hari arafah.

Seorang Yahudi berkata kepada Umar radhiyallahu anhu: Wahai Amirul Mukminin, ada SATU AYAT yang kamu baca di dalam Al-Qur'an, jika ayat tersebut itu diturunkan kepada kami Yahudi, nesaya kami akan menjadikan hari tu sebagai HARI RAYA.

Umar radhiyallahu anhu berkata: Ayat yang mana?

Yahudi itu berkata:
 ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى 
وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌ۚ 

"Pada hari ini AKU telah SEMPURNAKAN AGAMA kamu, dan AKU telah LENGKAPKAN NIKMATKU, dan AKU telah REDHA ISLAM sebagai AGAMA." [Al-Maidah:3]

Umar radhiyallahu anhu berkata: Kami mengetahui hari dan tempat turunnya ayat tersebut kepada Nabi shallallahu alaihi wa sallam. Ia turun ketika baginda berada di ARAFAH pada hari Jumaat. [Muttafaqun Alaih]

Yahudi bergembira kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sudah pun di ambang kewafatan. Yahudi bergembira kerana tiada lagi nabi yang akan memimpin ummat ini. Yahudi bergembira kerana mereka sentiasa merancang akan merosakkan Ummat ini. Yahudi juga bergembira kerana akan wujud di kalangan ummat ini dengan penuh keegoan mempertahankan akan tindakan yahudi laknatullah. Adakah kita hanya duduk dan mengiyakan tindakan mereka? nyata sekali tidak.

Maka apa yang perlu kepada kita ialah kembali kepada Allah, kembali kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Rujuk lah akan pewarisnya yang sebenar. Yang benar-benar mewarisi apa yang ditinggalkan nabi. Moga kita tidak sesat selamanya.


Bersempena di hari Arafah yang mulia ini, ummat manusia yang menunaikan haji memenuhi padang Arafah memohon akan pengampunan. Kita di sini digalakkan berpuasa. Semuanya berkait rapat dengan pengampunan. Jangan lepaskan peluang untuk kita sama-sama menyertainya. 

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (Al-Baqarah :186)

Ayuh sahabatku sekalian mari kita korbankan keegoan kita. Korbankan ia dengan penuh keikhlasan. Korbankan ia dengan penuh ketakwaan. Sedikit pun kita tidak akan rugi andai kita korbankannya.

 إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِينَ
"Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa." (Al-Maidah : 27)

Moga Allah menerima segala amal baik kita selama ini. 

Ya Allah, mudahkanlah bagi kami akan jalan ke syurgaMu. Jauhkanlah kami dari kemurkaanMu dan juga nerakaMu. Sesungguhnya azabMu amat mengerikan. Tetapkanlah iman kami. Teguhkanlah persaudaraan di antara kami. Kurniakanlah kepada kami kekuatan untuk mengamalkan Sunnah NabiMu. Jauhilah kami dari menyimpan keegoan yang menebal di dalam diri kami. Ampunilah kami di atas kesilapan dan kesalahan kami selama ini. Tiadalah yang dapat mengampuni kami melainkan Mu wahai Al-Ghaffar, ampunilah kami, wahai Ar-Rahman, rahmatilah kami, wahai Ar-Rahim, kasihanilah kami, ya Tawwaab, terimalah taubat kami, Ya Sami', dengarilah akan doa kami. 
 


Eid Mubarak, Kullu Am wa Antum Bikhair, Taqabbalallhu Minna wa Minkum Solehal A'maal.


Yang sentiasa mendambakan kasih Allah,


Abu Raudhah Al-Filfilani

14 Oct 2013 - Shah Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan