Isnin, 3 Mac 2014

Gangguan Wanita Bekerjaya

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن واله، وبعد

Maha Suci Allah S.W.T yang telah menjadikan kita, menuntut daripada kita agar melaksanakan ibadat untukNya dan kerana itulah kita dicipta. Antara matlamat lain seseorang manusia itu dihidupkan oleh Allah S.W.T ialah pada perkara yang boleh memberi manfaat dan menambah nilai ke dalam kehidupan insan yang lain. Bukanlah kesempurnaan yang kita kejar dan cari di dalam kehidupan yang serba kekurangan ini, tetapi, sebagai khalifah di muka bumi ini, perlu untuk kita bertanya kepada diri kita, apakah sumbangan aku kepada orang lain?


Lantaran itu, manusia bila menyedari akan hakikat memberi pada makna sebuah kehidupan, maka berlumba-lumbalah tidak kira lelaki mahupun wanita pada menjalankan satu amanah iaitu mengejar kebaikan dalam memberi manfaat pada insan lain. 

Di malaysia khususnya, mereka yang sudah melangkahkan kaki ke alam pekerjaan, tidak seharusnya memandang bahawa apa yang mereka lakukan itu hanyalah menerima semata-mata. Sedangkan mereka adalah seorang “Pemberi”, dalam masa yang sama mereka sedang menyelesaikan masalah jutaan insan yang berhajat kepada “tangan yang di atas”.


Lelaki yang bekerjaya,  adakalanya mereka perlu di sokong oleh tenaga yang lain bernama wanita. Seorang suami juga masih ada yang belum mampu menanggung seluruh isi keluarga tanpa isterinya bekerja.  Lantaran itu wanita turut sama melibatkan diri ke alam pekerjaan dan Islam tidak pernah menafikan intelektual di kalangan wanita, sekaligus mereka berhak bekerja berdasarkan beberapa ayat dalam ayat al-Quran dan sunnah daripada sirah Rasulullah bersama sahabiah,  tetapi mesti mengikut beberapa syarat dan batasan iaitu :

  1. Pekerjaan itu mestilah halal dari segi syarak, 
  2. Pekerjaan itu tidak menafikan fungsi utama wanita bujang atau sudah pun berkeluarga,, 
  3. Menjaga adab-adab Islam yang merangkumi adab keluar rumah, berpakaian, bergerak, bercakap dan bertabarruj.
  4. Tidak bergaul bebas dengan lelaki seperti makan hanya berdua, berjalan berdua-duaan, menaiki kereta dan kenderaan yang sama tanpa mempunyai ikatan yang sah.
  5. Hendaklah menundukkan pandangan dan mengelak diri dari bertembung dengan lelaki atau bersama mereka secara khalwat dan menimbulkan fitnah.


Wanita yang bekerjaya, tidak kira samada bujang ataupun yang sudah berkahwin, sangat perlu memahami dan seterusnya melaksanakan tuntutan syarak berhubung keperluan untuk keluar bekerja dengan batas-batas serta keutamaan yang telah ditetapkan di dalam islam.


Lewat ini, kedengaran persoalan berkenaan gangguan terhadap wanita yang bertaraf isteri kepada orang lain di pejabat, isteri tersebut perlu memberitahu suaminya agar mereka dapat menyelesaikan masalah ini dengan kadar yang sesegera mungkin. Pihak suami perlu bijak menanganinya seperti menggunakan saluran yang betul supaya perkara ini tidak berlaku pada diri sendiri dan orang lain di masa-masa hadapan. Ini semua perlu di atasi bagi mengelakkan punca keretakan dan keruntuhan sesebuah instistusi kekeluargaan. 

Perempuan adalah kelemahan lelaki dan merupakan sumber kepuasan dan keseronokan bagi golongan lelaki. Melihat perempuan sahaja sudah cukup mengembirakan lelaki apatah pula apabila kaum lelaki dapat bersama-sama dengan orang perempuan di dalam pekerjaan dan urusan kehidupan. Nabi Salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda : “Perempuan ialah aurat, apabila mereka keluar dari rumah mereka maka syaitan akan merasa bersemangat. Wanita tidak lebih dekat dengan Allah berbanding ketika dia menetap di dalam rumahnya. (hadith riwayat Ibn Hibban dan Ibn Kuzaimah, disahihkan oleh Syeikh Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah)

Di sana terdapat pihak berwajib contohnya PIDM yang mengendalikan masalah ini sekiranya tiada tindakan daripada pihak majikan si isteri. Bagi si isteri, anda tidak perlu mencari pekerjaan yang lain melainkan kemudaratannya mengatasi kemaslahatannya. Perlu diingatkan bahawa peluang pekerjaan hari ini  bukanlah semudah dan seindah zaman yang lalu. Maka berfikirlah sebelum bertindak, dan bijak bertindak supaya para wanita di luar sana tetap menjaga keharmonian di tempat kerja, sekaligus mengukuhkan lagi bahtera rumah tangga mereka hingga ke syurga. 

Saya doakan yang terbaik buat wanita di luar sana. Moga anda sentiasa kaya dan berjaya.

Akhukum 

Nurzamir bin Zakaria 

*sebahagian artikel ini telah disiarkan di Akhbar Sinar Harian bertarikh 2/3/2104.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan