Selasa, 8 Oktober 2013

Anda Suka Main Kutu ?

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن واله، وبعد


Isu main kutu bukanlah isu negara yang sedang hangat dibincangkan buat masa ini, tetapi bila ada pihak yang mengadu dan inginkan penjelasan, saya berasa terpanggil ingin berkongsi sesuatu berdasarkan pengalaman yang telah saya lalui. Saya juga tidak bercadang nak bercerita dengan begitu ilmiah dari segi takrifan dan hukum hakamnya secara mendalam, ini disebabkan telah ramai alim ulama yang sudah pun membicarakan akan hal ini. Anda buleh merujuk mereka untuk mendapatkan ilmu yang lebih mendalam. insyaAllah, moga di sana ada manfaat di atas apa yang saya ingin kongsikan. Maaf sekiranya entry ini terlalu panjang untuk anda.


Situasi 1:
Pada tahun 2008, saya pernah bermain kutu seramai 11 orang. Setiap orang membayar RM1000. Pada awal-awal lagi, semua ahli sudahpun bersetuju bahawa cara perolehi wang kutu bukan berdasarkan undian, sebaliknya setiap individu sudahpun ditetapkan cara perolehannya berdasarkan bulan. Saya tidak mengambil kisah perihal undi atau tak, disebabkan saya sudah pun ada target bilakah waktu yang saya amat perlukan duit. walaupun ada sesetengah pihak nampak cara undian mengandungi unsur judi, tetapi 'al-qur'ah' diharuskan dengan syarat semua ahli bersetuju. baca di sini

Alhamdulillah, bila tiba giliran saya, "mak kutu" menghulurkan kepada saya RM10,000 dan jumlahnya cukup seperti yang disepakati. 
Bulan yang berikutnya, saya membayar macam biasa sehinggalah tamat orang yang ke-11 menerima wang kutu.

Apa yang saya nak kongsikan ialah, semua pemain berlaku adil. semuanya membayar mengikut tempoh dan jumlah yang betul. Saya berpuas hati walaupun ada akta yang melarang, baca di sini , akan tetapi, apabila semua ahli berlaku jujur dan adil, insyaAllah, tidak akan ada unsur-unsur yg buleh menzalimi dan memudaratkan ahli yang lain.

Situasi 2:
Pada tahun 2013, sekali lagi saya diajak untuk menyertai permainan kutu, kali ini sesama kawan-kawan di pejabat. Ahli seramai 11 orang juga dan setiap peserta membayar RM300 sebulan. Pada awalnya, hati berat mengatakan tidak, tetapi oleh kerana pujukan daripada "sang pencetus idea", dengan alasan untuk mencukupkan ahli (walhal kutu ni main 5 orang pun buleh), jadi saya terima.
Syarat pengagihan sama seperti kali pertama saya sertai. setiap peserta akan mendapat bahagian masing-masing tanpa proses undian.

"Adoi...dah sebat bulan pertama, dah joli habis, camne nak maintain bulan seterusnya nihh..!!!

Cuma kali ini ada beberapa kesilapan yang berlaku dan saya sendiri akui kecuaian saya.

Pertama: saya tidak meminta senarai nama siapakah ahli yang bermain kutu. Ini saya rasakan penting kerana paling tidak, kita buleh tahu individu yang menyertai dan kita juga tahu akan latar belakang setiap peserta. Samada individu-individu terbabit pernah ada kes hutang keliling pinggang ataupun ada masalah kewangan yang lain, ia dapat membantu kita untuk meneruskan ataupun menarik diri.

Kedua: saya tidak bertanya bilakah waktu yang saya harus dapat, sebaliknya "sang pencetus idea" memberitahu bahawa yang penting, dia ialah orang yang pertama akan mendapatkannya. Pada awalnya, saya tidak kisah sebab kalau saya terakhir pun, at least saya mesti mendapatkannya. Oleh itu, saya serahkan kepada "sang pencetus idea" menentukan bilakah bulan yang saya patut terima. Alhamdulillah, tak lama selepas itu saya dapat tahu bahawa saya memang orang yang terakhir akan mendapatkannya.

Apa yang berlaku ialah, pada bulan pertama, "sang pencetus idea" dengan gembiranya menerima RM3000. Kemudian dia melepaskan jawatannya sebagai "sang pencetus idea" kepada "mak kutu" untuk mengutip duit bulanan yang seterusnya. Kebetulan pula, "mak kutu" akan mendapat untuk bulan yang kedua. mahu tidak mahu, "mak kutu" menerima watikah perlantikan itu tanpa sesiapa pun menjadi saksi.

Bulan berganti bulan, saya pun membayar RM300 setiap bulan, dan tibalah waktu semalam, bila saya berjumpa dengan "mak kutu" ingin bertanyakan situasi terkini, barulah saya mendapat tahu dan saya ingin kongsikan dengan anda semua.
Rupa-rupanya, ada taktik yang terbaru yang saya rasakan belum ada orang kongsikan di blog. kalau ada minta mahap laa yaa. 

Penerima bulan lepas, hanyalah menerima RM1800. ..sepatutnya dia wajib menerima RM 3000 tetapi sebaliknya yang diterima. 

"Ini buleh mendatangkan marah"

Izinkan saya bercerita sedikit lagi apakah situasi yang sebenarnya berlaku.

Kemanakah perginya lagi "RM1200" ?  

Dalam ramai-ramai ahli yang menyertai, terdapat 3 orang yg bermasalah bila time nak membayar. Apa yang mengejutkan ialah, "sang pencetus idea" salah seorang daripadanya. Ini terbukti berdasarkan cerita daripada "mak kutu", apabila dia yang sepatutnya menerima pada bulan yang kedua, dia terpaksa "mengemis" kepada "sang pencetus idea" demi mendapatkan haknya. Itupun di bayar secara beransur-ansur, sedangkan bulan pertama dia dah sebat RM3000, masuk bulan kedua tetiba jadi liat.

Dari sini saya tahu bahawa, "sang pencetus idea" ini akan ada di mana-mana. Bagi mereka yang merasakan proses undian ada unsur-unsur judi, anda juga perlu berhati-hati terutamanya bila dia selalunya mahukan giliran yang pertama. Maybe dia mempunyai masalah kewangan, tetapi haram baginya menzalimi rakan-rakan pembayar yang lain. Dalam grup saya ini, dia tidak membayar untuk bulan ke-8, ke-9, dan sangatlah mustahil untuk dia bayar sekaligus RM900 untuk bulan yang ke-10.

2 orang lagi peserta yang bermasalah, seorangnya sudah berhenti kerja dan tukar nombor telefon yang baru. Sudah 4 bulan dia tidak membayar (RM1200). seorang peserta lagi mengambil 2 nama. RM600 x 2bulan dah tak bayar = RM1200. untuk bulan ke 10 ni dah jadi RM1800. bagaimana mereka nak langsaikan dengan jumlah yang besar, sedangkan jumlah yang kecil pun mereka dah tetiba menjadi LIAT?

"Kalaulah buleh aku cabut simcard telefon ni"

Sebagai ahli kutu yang rasa dizalimi, saya menyeru kepada mereka yang "sengaja" terutamanya dalam hati ada unsur-unsur ingin menindas kawan-kawan yang lain agar segera bertaubat dan langsaikan hutang anda sebelum anda dijemput Ilahi. Hidup anda tidak akan aman dan doa anda juga tidak akan mustajab sekiranya pakaian, minuman dan makanan anda dari sumber yang haram. Akan tetapi, sekiranya anda memang ada masalah kewangan, sila berjumpa dengan setiap ahli kutu dan memohon kemaafan atas kelewatan dan maaf saja tak cukup, anda perlu usaha seboleh mungkin untuk melunaskannya  kerana ia satu kewajiban anda.

"Time dapat...senyum...time bayar balik...nyesum...."

Kepada mereka yang masih ragu-ragu atau sudah pun mula menyertai mana-mana permainan kutu, saya doakan anda tidak mendapat situasi yang saya alami sekarang ini. Saya tidak menghalang kepada mereka yang ingin bermain, kerana banyak fatwa yang mengharuskan walaupun ada akta yang melarang. Anda cuma perlu pastikan bahawa anda mendapat ahli yang betul-betul amanah, adil dan berintegriti serta tidak ada rekod buruk kewangan. Supaya anda tidak dizalimi dan berlaku permusuhan yang panjang sesama muslim. Ini semua adalah HARAM di dalam Islam.



Saya yang trauma main kutu,

Abu Raudhah Al-Filfilani
8 Oct 2013 - Shah Alam-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan